PENTAKSIRAN BERASASKAN SEKOLAH:
PELAKSANAAN DAN CABARAN
Pengenalan
Dapatan penyelidikan Profesor Madya
Dr. Faizah binti Abdul Majid, dari Fakulti Pendidikan UiTM yang diterbitkan
dalam Journal of US-China Education Review, Vol.8, No.10, 2011. ISSN1548-6613
memberikan perspektif asas tentang pelaksanaan pentaksiran berasaskan sekolah
(PBS) di Malaysia dan cabaran yang bakal dihadapi. Menurut beliau, PBS belum
sampai ke tahap pelaksanaan penuh (full swing). Shanusi Ahmad (LPM) dalam
kertas cadangan Ph.D beliau menegaskan bahawa PBS di Malaysia lebih berbentuk
gabungan dengan sistem peperiksaan berpusat oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia
(LPM) dan Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM).
Dasar kenaikan automatik murid ke
tingkatan empat dan persijilan terbuka mulai tahun 1992 telah membuka jalan
kepada titik tolak pelaksanaan PBS menerusi ujian lisan bahasa Melayu dan
bahasa Inggeris oleh guru di sekolah masing-masing. Pengenalan kerja kursus dan
folio kajian tempatan sejak sekolah rendah lagi mengukuhkan pelaksanaan PBS.
Penambahbaikan ujian pencapaian sekolah rendah (UPSR) dan pemansuhan penilaian
menengah rendah (PMR) mulai tahun 2014 juga bakal menyaksikan pelaksanaan PBS
yang lebih menyeluruh.
Isu-isu Pelaksanaan PBS
Hamzah dan Sinnasamy (2009)
mendapati bahawa pelaksanaan ujian lisan berasaskan sekolah (PLBS dan ULBS)
tidak akur sepenuhnya dengan kehendak garis panduan LPM. Hal itu berpunca
daripada tahap kesedaran inovasi dan perubahan yang masih belum mencukupi.
Kepimpinan PBS yang diterajui oleh pengetua juga belum benar-benar mantap dari
segi kefahaman konseptual PBS dan peranan ikhtisas yang perlu dipatuhi.
Kecairan maklumat akibat kaedah
latihan teragih yang bermula daripada kementerian, jabatan pelajaran negeri,
pejabat pelajaran daerah, sekolah, jawatankuasa kurikulum dan panitia mata
pelajaran mengakibatkan proses pendedahan kepada guru pelaksana PBS menjadi
suntuk. Jurulatih utama (JU) berkursus selama seminggu, tetapi apabila sampai kepada
panitia, taklimat hanya mengambil masa dua jam. Guru juga berhadapan dengan
peruntukan aktiviti bilik darjah untuk menyelesaikan segala keperluan kurikulum
dan kemahiran insaniah yang lain.
Pemantauan oleh pakar dan pihak
berkuasa pelajaran juga berhadapan dengan kekangan kewangan dan tatacara
pergerakan guru keluar daripada kawasan sekolah masing-masing. JU dan pentaksir
kawasan tidak boleh bertugas di luar kawasan sekolah melebihi 30 peratus
daripada waktu rasmi di sekolah. Maka, tanggungjawab pemantauan diserahkan pula
kepada pengetua, penolong kanan (pentadbiran dan kurikulum) dan guru-guru kanan
mata pelajaran yang sudah sedia sibuk dengan pelbagai jenis borang dan data.
Bagi memastikan bahawa pihak sekolah
akur dengan konsep PBS, pengetua dikehendaki menyediakan sistem data dan fail
yang berfungsi sebagai bukti hitam putih hasil kerja setiap orang murid.
Bilangan fail mungkin mencecah angka ribu dan puluhan unit almari untuk
penyimpanan fail berkenaan. Sistem kod dan nombor fail mesti seragam supaya
carian fail dapat dilakukan secara serta-merta jika diminta oleh pegawai atasan
yang memantau pelaksanaan PBS secara mengejut.
Pengurusan PBS secara atas talian
Kemajuan teknologi maya dan jaringan
ialah jawapan kepada isu timbunan fail dan pembaziran kos cetakan dan
penjilidan folio murid, kecuali untuk projek pendidikan seni visual atau kerja
pertukangan kemahiran hidup. Eza Shafinaz binti Mohamed Zaharin (2011) menerusi
kertas projek sarjana sains maklumat, Universiti Utara Malaysia (UUM) telah
mencadangkan sistem e-folio. Eza menyenaraikan manfaat e-folio yang dapat
menangani masalah kehilangan bukti dokumentasi bertulis, ciplak, ruang
penyimpanan, kos cetak dan jilid, melengkapkan pelbagai format borang, kecuaian
manusia dan sebaran maklumat PBS kepada semua pihak yang berkepentingan.
Penggunaan e-folio juga memberi
kesempatan kepada murid untuk mempersembahkan hasil kerja mereka secara
multimedia. Folio kerja kursus tidak lagi terhad kepada bentuk kertas berjilid,
sebaliknya boleh dinaik taraf kepada format audio visual, animasi dan grafik
yang canggih. Nilai tambah pelaksanaan PBS menerusi sistem e-folio sudah tentu
lebih ketara.
Capaian e-folio boleh dilakukan di
mana-mana lokasi yang mempunyai akses internet, serta boleh dilindungi menerusi
kata laluan, fail read-only dan had akses untuk orang awam. Capaian penuh hanya
dibenarkan untuk pemilik folio, pentaksir dan pihak berkuasa pendidikan
tertinggi. Pihak lain hanya boleh membaca bahagian abstrak atau sinopsis, serta
perlu mendapat keizinan pemilik folio menerusi e-mel yang tertera jika hendak
memperoleh versi folio yang lengkap.
Sistem e-folio boleh diletakkan di
bawah sistem analisis peperiksaan sekolah (SAPS) sedia ada dan skor markah
terus ke laman sesawang LPM atau MPM. Untuk keselamatan data, segala fail
hendaklah juga disimpan secara talian tempatan (off-line, LAN) dan peranti
mudah alih lain seperti cakera padat (CD), pemacu jari (thumb-drive) dan
lain-lain. Selain itu, murid dan pentaksir sekolah juga digalakkan mewujudkan
sistem e-mel sebagai salinan fail tambahan untuk pelan B kepada risiko ancaman
serangan penggodam dan virus terhadap sistem induk e-folio.
Cabaran Pelaksanaan PBS
PBS ialah sebahagian proses
perubahan konsep pentaksiran yang terlaksana di seluruh dunia. Finland misalnya
telah melaksanakan PBS tanpa peperiksaan secara berpusat dalam tempoh 9 tahun
persekolahan awal kanak-kanak.
Australia, Hong Kong dan New Zealand juga boleh dianggap berjaya melaksanakan
PBS secara sistematik. Kepesatan perubahan persekitaran pendidikan, dinamika
masyarakat dan industri bererti PBS ialah suatu keperluan yang kritikal dan
segera.
Proses perubahan sentiasa menggugat
status quo dan kelompok zon selesa. Pembaharuan akan mengakibatkan kehilangan
kedudukan, kebiasaan dan kepakaran lama. Usaha menarik perhatian ke arah
melemahkan rintangan terhadap perubahan dan mengukuhkan daya pacu perubahan
perlu dikendalikan secara paling bijaksana, cermat dan hormat.
Kepercayaan terhadap pelaksanaan PBS
sebagai ganti sistem pentaksiran berpusat LPM dan MPM sepenuhnya perlu dipupuk
dalam kalangan murid, guru dan masyarakat. Murid akan lebih bertanggungjawab
terhadap proses pembelajaran kendiri, guru dengan tanggungjawab ikhtisas dan
masyarakat menerima PBS sebagai kayu ukur pencapaian pembelajaran murid. Pihak
LPM dan MPM pula akan bertindak sebagai pemantau, penyelaras dan penjaga
kesahan, serta kebolehpercayaan PBS kepada semua pihak yang berkepentingan.
Langkah Memperkasa PBS
Guru akan sentiasa menjadi tulang
belakang dan tumpuan pelaksanaan PBS. Maka, keperluan latihan dalam
perkhidmatan (Ladap, in-service training atau Inset) harus berorientasi
praktikum (hands-on). Ladap berbentuk ceramah, taklimat dan kursus aras
komunikasi dua hala terhad perlu kepada proses ubah suai. Gaya pengajaran guru
dengan gaya pembelajaran murid menerusi pelaksanaan PBS mestilah sentiasa akur
dan sejajar.
Memandangkan begitu banyak data dan
fail yang hendak diuruskan, pelantikan pembantu guru hendaklah dibuat dengan
segera. Pembantu guru hanya dikhususkan untuk meningkatkan kecekapan kemasukan
data pembelajaran, bukan untuk membantu kerja-kerja pejabat seperti urusan stok
dan percetakan. Spesifikasi dan terma tugas pembantu guru hendaklah secara jelas
menegaskan hal berkenaan, terutama sistem pengurusan data dan fail PBS.
Ulasan Artikel.
PBS
ialah bentuk pendidikan masa hadapan yang juga berupa ucapan selamat tinggal
kepada orientasi peperiksaan per se yang telah sekian lama
mengundang kritikan bertalu-talu. Anjakan paradigma yang berlaku ini bertepatan
dengan pesanan Saidina Umar al-Khatab yang menegaskan supaya reka bentuk
pendidikan anak-anak wajib berdasarkan keperluan masa hadapan mereka.
Pelaksanaan PBS acuan Malaysia bermakna sistem pendidikan dan pentaksiran
sentiasa melangkah ke hadapan, manakala segala kebijaksanaan dan pengalaman
zaman-berzaman akan tetap dimanfaatkan dalam persekitaran terkini.
Secara
teorinya, pelaksanaan PBS sangat memberi manfaat kepada guru, pelajar dan
masyarakat. Guru tidak lagi terbeban untuk mengejar A bagi setiap mata
pelajaran dan pelajar juga lebih bersemangat kerana penilaian dijalankan secara
berterusan dan menyeluruh. Bertitik tolak dengan kejayaan pelaksanaan PBS sedia
ada seperti ULBS, PEKA, KAFA dan sebabagainya yang telah diambil kira sebagai
markah dalam peperiksaan awam , maka timbul idea daripada KPM untuk memansuhkan
UPSR menjelang tahun 2012 untuk digantikan dengan PBS sepenuhnya.
Namun, dari segi pelaksanaannya, masih
belum menunjukkan kejayaan yang sepenuhnya. Pelbagai punca, kekangan dan
masalah yang menjejaskan pelaksanaan PBS di sekolah antaranya dari segi faktor
amalan profesionalisme dan falsafah pegangan guru dan faktor budaya, tradisi,
kepimpinan dalam pendidikan termasuk kesesuaian acuan penilaian dan amalan
birokrasi yang perlu mengambil kira keperluan pelajar. Sebagai contoh, jika PBS
dilaksanakan sepenuhnya untuk menggantikan
UPSR masalah timbul untuk menilai gred murid bagi kemasukan ke sekolah
elit seperti MRSM , SBP dan sebagainya. Selain itu, pelbagai isu lain juga
timbul di mana ianya dikatakan membebankan guru. Tugas-tugas guru yang sedia
banyak akan dibebankan lagi dengan pelbagai jenis folio dan dokumen berkaitan
yang perlu disediakan dan dilaksanakan. Bilangan pelajar yang ramai juga
menyebabkan guru tidak cukup masa untuk melaksanakan PBS dengan sistematik.
Guru boleh juga dilabel sebagai "kerani" dengan bebanan tugas yang
banyak ini.
Pengurusan PBS secara atas talian
merupakan satu alternatif yang terbaik bagi mengurangkan beban tugas guru ini
namun ianya juga mempunyai kelemahan yang tersendiri seperti jaringan internet
yang terhad, capaian internet yang sibuk dan tidak memuaskan dan sebagainya.
Cabaran
pelaksanaan PBS memang akan sentiasa muncul dari masa ke masa. Kekurangan dan
ralat yang masih wujud tidak wajar menjadi alasan untuk pelaksanaan PBS kembali
lemah. Murid, guru dan masyarakat berhak untuk memberikan sumbangan terbaik
demi masa hadapan bangsa, negara dan umat.
Kesimpulannya, saya berpendapat
bahawa pelaksanaan PBS di sekolah adalah sangat tepat dan bermanfaat namun
ianya perlu dilaksanakan secara perlahan-lahan dan mengambilkira luahan dalam
kalangan guru sendiri tentang pelaksanaan PBS ini. Hanya guru yang mengetahui
kekangan yang dialami mereka dan mungkin mereka juga mempunyai cadangan sebagai
jalan penyelesaian dalam melaksanakan PBS. Saya sendiri sebagai guru tidak
menafikan akan kepentingan dan kebaikan pelaksanaan PBS di sekolah, malah ingin
mencadangkan supaya KPM menyediakan pembantu guru bagi merialisasikan hasrat
untuk melaksanakan PBS sepenuhnya di sekolah.
No comments:
Post a Comment