.:Assalamualaikum...Selamat Datang ke Blog Kami:.

Friday, 22 November 2013

Slide Pembentangan Kumpulan Kami (Kumpulan 1)
 

 
Dialog @ TV1 [Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS)]

Video Berkenaan Dengan PBS


5 Dasar Kementerian Malaysia

 
Sistem PBS



Pelaksanaan PBS 2013



Artikel 1


Nama penulis artikel   : Sui-Yan Chan
Asal                             : Fakulti Matematik, Kean University, NJ.
Sumber artikel             :Proquest.                               
Tarikh artikel               : Mei 2013


Ulasan Artikel

Artikel ini membincangkan mengenai analisis perbandingan pencapaian Matematik diantara Amerika Syarikat dan Hong Kong menggunakan kriteria PISA sebagai asas.

            Penulis menceritakan pengalaman sendiri sebagai guru dan penuntut di Hong Kong.Penulis juga memetik artikel dari internet tulisan Nick Diaz mengenai persepsi umum rakyat Amerika Syarikat bahawa penuntut dari Asia bijak dalam matematik, boleh belajar matematik dengan lebih cepat, mendapat maklumat dengan lebih mendalam dan lebih cepat mendapat jawapan berbanding penuntut dari Amerika Syarikat.

            Menggunakan statistik dari PISA tahun 2000 ke 2009, Hong Kong sentiasa berada diantara 3 teratas manakala Amerika Syarikat berada diantara tangga 19 dan 30. Selain itu Amerika Syarikat berada di bawah pungutan mata pelajar dari Organization for Economic Cooperation and Development(OECD).

            Seterusnya penulis menghuraikan latar belakang sistem pendidikan di Hong Kong dan Amerika Syarikat.Penulisan bermula dengan sejarah pendidikan di Hong Kong dan Amerika Syarikat kemudian meneruskan perbincangan mengenai sistem persekolahan bermula dari pendidikan pra-sekolah hingga ke ijazah pertama.Turut di huraikan ialah sistem penilaian dan reformasi pendidikan di Hong Kong dan Amerika Syarikat. Terdapat 3 perbezaan antara sistem pendidikan di Amerika dan Hong Kong iaitu kanak-kanak di Hong Kong memasuki sistem persekolahan 2 tahun lebih awal daripada kanak-kanak di Amerika Syarikat. Justeru itu, kanak-kanak di Hong Kong mendapat pendedahan kurikulum matematik lebih awal berbanding kanak-kanak di Amerika Syarikat.Perbezaaan yang kedua ialah Amerika Syarikat menggunakan sistem “3-4-4” manakala Hong Kong pula menggunakan sistem “3-2-2-3” (selepas reformasi pendidikan Hong Kong menggunakan sistem “3-3-4”).Seterusnya perbezaan ketiga ialah sistem pendidikan di Hong Kong adalah berorientasikan peperiksaan manakala pelajar di Amerika Syarikat pula tidak dibebankan dengan peperiksaan. Penulis menyenaraikan tiga jenis peperiksaan utama yang wajib diambil oleh pelajar di Hong Kong iaitu Basic Compentency Test (BCA), Hong Kong Certificate of Examination (HKCEE) dan Hong Kong Advance Level Examination (HKALE). Walaupun pelajar di Amerika Syarikat mempunyai peperiksaan tahunan dari gred 3 hingga gred 8, namun tujuan utama peperiksaan ini adalah menilai kemampuan dan kemahiran pelajar dalam menguasai ilmu dan kemahiran sesuai dengan gred. Pelajar boleh mengambil peperiksaan Scholastic Reasoning Test (SAT) ataupun America College Testing (ACT) semasa di High School jika berhasrat melanjutkan pelajaran ke Ijazah pertama.

            Penulis melanjutkan perbincangan dengan membandingkan kurikulum dan standard diantara Hong Kong dan Amerika Syarikat.Terdapat beberapa persamaan antara tujuan kurikulum digubal iaitu membangunkan kemahiran berfikir dan komunikasi matematik.Hong Kong mengutamakan Mathematics Outcome dan kegunaan dalam kehidupan harian.Manakala Amerika Syarikat menggariskan 6 prinsip dan 5 proses piawai dalam kurikulum matematik.Prinsip melibatkan ekuiti, kurikulum, pengajaran, pembelajaran, penilaian, program instruktional dan teknologi. Penulis membuat perbandingan pengisian kurikulum dengan mengelaskan kumpulan pelajar kepada 4 peringkat iaitu junior primary, senior primary, junior secondary dan senior secondary. Penulis juga mengkelaskan jangkaan isi kandungan yang akan dipelajari oleh pelajar mengikut negara masing-masing. Daripada jadual dalam mukasurat 25, penulis merumuskan bahawa kebanyakan isi kandungan kurikulum di Amerika Syarikat telahpun diperkenalkan lebih awal di Hong Kong.Ini adalah kerana, kanak-kanak di Hong Kong memulakan pembelajaran pra-sekolah sekurang-kurangnya dua tahun lebih awal berbanding kanak-kanak di Amerika Syarikat.

            Kurikulum Hong Kong mempunyai garis panduan dan framework yang rigid jika dibandingkan dengan kurikulum di Amerika Syarikat.Guru matematik di Amerika Syarikat perlu menyesuaikan kandungan pelajaran agar selari dengan standard dan kurikulum kerana tiadanya garis panduan dan framework yang jelas. Penulis menyenaraikan 9 perbezaan kandungan kurikulum iaitu berkaitan dengan pengukuran, geometri koordinat, geometri euclidean, penjelmaan kongruen dan persamaan, hubungan pola nombor, statistik dan kebarangkalian, pecahan dan perpuluhan, nombor negatif dan teori nombor.

Isu-isu Kajian

            Penulis telah melakukan soal selidik melibatkan 60 orang guru dari negara Hong Kong dan Amerika Syarikat. Dapatan dari soal selidik yang dijalankan penulis mendapat lima dapatan iaitu melibatkan pola kelas, pengajaran dan penilaian, persekitaran pembelajaran, kepercayaan polisi pendidikan matematik danlatihan profesional. 

            Guru di Amerika Syarikat mengajar lebih banyak kelas matematik setiap minggu berbanding guru di Hong Kong. Majoriti pelajar di Amerika Syarikat belajar Matematik lima hari setiap minggu berbanding pelajar di Hong Kong. Purata tempoh pembelajaran matematik di Amerika Syarikat adalah lebih banyak berbanding di Hong Kong namun, pelajar di Hong Kong berpeluang belajar lebih lama dari pelajar di Hong Kong kerana masa berganda (double period) di Hong Kong adalah 20% lebih berbanding di Amerika Syarikat.

            Dari segi pengajaran dan penilaian, terdapat perbezaan dari segi penggunaan teknologi, persekitaran dan penilaian kepada pelajar.Guru matematik di Amerika Syarikat menggunakan papan putih interaktif dengan meluas berbanding guru matematik di Hong Kong. Ketika pelajar di Hong Kong menggunakan kalkulator saintifik, pelajar di Amerika Syarikat pula menggunakan kalkulator  graf. Dari segi pengajaran, guru di Amerika Syarikat banyak menggunakan pendekatan berpusat pelajar berbanding berpusat guru di Hong Kong.Keadaan ini adalah disebabkan bilangan pelajar dalam kelas matematik di Amerika Syarikat adalah kecil berbanding di Hong Kong.Terdapat perbezaan yang ketara dari segi penilaian keatas pelajar matematik di Amerika Syarikat dan Hong Kong.Pelajar di Hong Kong perlu mengadapi dua peperiksaan penggal dan satu peperiksaan akhir tahun bagi setiap tahun persekolahan.Manakala pelajar di Amerika Syarikat bagi gred 3 hingga 8 perlu menghadapi penilaian tahunan.Fungsi utama penilaian ini ialah keputusan penilaian ini memberik kesan keatas geran yang diterima di peringkat pusat ke daerah yang berkenaan.Keputusan penilaian di Hong Kong pula menentukan arah tuju pelajar itu sendiri dalam melanjutkan pelajaran.Penulis membuat kesimpulan atas sebab inilah pelajar di Hong Kong berusaha untuk mendapat keputusan yang baik dan menyebabkan perbezaan dari segi pencapaian matematik antara kedua-dua negara.

            Guru di Hong Kong percaya bahawa pelajar mereka mempunyai pencapaian yang kukuh dalam matematik manakala guru di Amerika Syarikat menyatakan tiada perubahan dari segi pencapaian pembelajaran matematik. Dari segi aktiviti luar pelajar di Amerika Syarikat menyertai Kelab Matematik, Bengkel Matematik, Math Tutoring  dan Olympiad Matematik, manakala pelajar di Hong Kong menyertai semua aktiviti yang disebut dan sekolah di Hong Kong mengadakan Minggu Matematik.

            Guru matematik di Hong Kong mengatakan bahawa kurikulum matematik adalah jelas dan rigid dan majoriti guru di Hong Kong menerima satu hingga lima latihan, bengkel dan seminar setiap tahun.

            Penulis membuat kesimpulan akhir bahawa tiga sebab yang membawa kepada perbezaan pencapaian antara pelajar matematik di Hong Kong dan Amerika Syarikat adalah kerana pelajar di Hong Kong memulakan persekolahan 2 tahun lebih awal berbanding pelajar di Amerika Syarikat, sistem pendidikan di Hong Kong adalah bersifat berorientasikan peperiksaan dan sistem pendidikan yang berbeza dari segi sifat dan karakter seperi bilangan pelajar dalam kelas, penggunaan buku teks

Kritikan

            Secara umumnya penulis tidak mengikut format American Psychological Association (APA). Penulis tidak membahagikan bab mengikut sistem APA iaitu pendahuluan, sorotan penulisan, metodologi, keputusan serta perbincangan dan kesimpulan. Pendahuluan penulis yang memberikan pengalaman sendiri tidak sesuai dengan kajian berbentuk saintifik.Bab 1 tidak memberikan penekanan tentang penyataan masalah yang jelas, kepentingan penyelidikan dan kekangan kajian. Penulis juga menggunakan pengalaman melalui tulisan dari internet yang bukan berbentuk saintifik.

Perbandingan kurikulum antara negara bukanlah sesuatu yang asing.Telah banyak kajian yang menjalankan kajian yang seumpamanya seperti Xie, Xuehui (2003), Martin Alicia (2011) dan banyak lagi kajian.Kegagalan menulis kajian literatur adalah kelemahan serius yang dilakukan oleh penulis.

Dalam bab 3, penulis hanya menerangkan latar berlakang kajian. Penulis tidak menjelaskan kaedah yang digunakan dalam membuat kajian.Persoalan seperti prosuder, sampel dan populasi, tempat penyelidikan, instrumen dan jangkamasa tidak diterangkan dengan jelas.Penulis juga tidak menjelaskan kajian rintis samada dilakukan atau tidak.Penulis hanya memberikan sedikit maklumat pada bab lima. 

Dalam menganalisis data, terdapat beberapa kelemahan yang dilakukan oleh penulis.Dalam mukasurat 25, penulis membuat kesimpulan yang tidak tepat dengan mengatakan kebanyakan kurikulum di Amerika Syarikat telahpun diajar lebih awal di Hong Kong.Penyataan ini tidak menggambarkan keadaan yang sebenar dan bertentangan dengan jadual yang dilampirkan di mukasurat 24.Penulis juga tidak memberikan justifikasi yang jelas dalam membandingkan isi kandungan kurikulum.Walaupun begitu, semua maklumat dari graf diberi penerangan yang jelas oleh penulis.

Kesimpulan yang dibuat penulis juga tidak tepat.Salah satu rumusan yang diberi oleh penulis mengenai sebab perbezaan pencapaian adalah kerana kanak-kanak di Hong Kong memulakan sessi persekolahan lebih awal berbanding di Amerika Syarikat.Penyataan ini bertentangan dengan tulisan penulis sendiri dalam mukasurat 16 yang menyatakan majoriti kanak-kanak di Amerika Syarikat menghadiri kelas pra-sekolah. Terdapat juga penyataan yang serius yang tidak diberikan sokongan oleh pengkaji lain seperti anggapan sistem pendidikan di Hong Kong berorientasikan peperiksaan.

Penulis juga tidak menyertakan soal selidik yang diberikan kepada guru-guru di Amerika Syarikat dan tidak menyatakan dengan jelas bahagian negeri mana kajian ini dijalankan di Amerika Syarikat.Responden seramai 60 orang dirasakan tidak sesuai.

Artikel 2

Nama penulis artikel   : Faridah Salleh & Effandi zakaria
Asal                             : Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
Sumber artikel                    
Tajuk artikel                : Keupayaan Menjana Masalah matematik Dalam Kalangan Guru Matematik                    
Tarikh artikel              
Ulasan Artikel 


Dalam artikel ini membincangkan sistem pendidikan yang ingin diubah secara perlahan-lahan. Dalam kurikulum matematik yang disemak semula, fokus baru telah diberikan kepada pengajaran dan pembelajaran yang mengaplikasikan penyelesaian masalah, komunikasi dalam matematik dan penggunaan teknologi. Ianya selari dengan hasrat untuk meningkatkan kedudukan Malaysia dalam TIMSS (Trends in International Mathematics and Science Study).

Oleh itu, guru perlu melaksanakan aktiviti yang melibatkan pelajar sendiri menjana masalah matematik, disamping pelajar menyelesaikan masalah yang telah tersedia terungkap. Ianya berbeza sama sekali dengan dengan sistem pengajaran dan pembelajaran tradisional yang hanya mementingkan komunikasi secara satu hala sahaja yang berteraskan pembelajaran berpusatkan guru.

Artikel 3


PENTAKSIRAN BERASASKAN SEKOLAH: PELAKSANAAN DAN CABARAN

Pengenalan

Dapatan penyelidikan Profesor Madya Dr. Faizah binti Abdul Majid, dari Fakulti Pendidikan UiTM yang diterbitkan dalam Journal of US-China Education Review, Vol.8, No.10, 2011. ISSN1548-6613 memberikan perspektif asas tentang pelaksanaan pentaksiran berasaskan sekolah (PBS) di Malaysia dan cabaran yang bakal dihadapi. Menurut beliau, PBS belum sampai ke tahap pelaksanaan penuh (full swing). Shanusi Ahmad (LPM) dalam kertas cadangan Ph.D beliau menegaskan bahawa PBS di Malaysia lebih berbentuk gabungan dengan sistem peperiksaan berpusat oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) dan Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM).

Dasar kenaikan automatik murid ke tingkatan empat dan persijilan terbuka mulai tahun 1992 telah membuka jalan kepada titik tolak pelaksanaan PBS menerusi ujian lisan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris oleh guru di sekolah masing-masing. Pengenalan kerja kursus dan folio kajian tempatan sejak sekolah rendah lagi mengukuhkan pelaksanaan PBS. Penambahbaikan ujian pencapaian sekolah rendah (UPSR) dan pemansuhan penilaian menengah rendah (PMR) mulai tahun 2014 juga bakal menyaksikan pelaksanaan PBS yang lebih menyeluruh.

Isu-isu Pelaksanaan PBS

Hamzah dan Sinnasamy (2009) mendapati bahawa pelaksanaan ujian lisan berasaskan sekolah (PLBS dan ULBS) tidak akur sepenuhnya dengan kehendak garis panduan LPM. Hal itu berpunca daripada tahap kesedaran inovasi dan perubahan yang masih belum mencukupi. Kepimpinan PBS yang diterajui oleh pengetua juga belum benar-benar mantap dari segi kefahaman konseptual PBS dan peranan ikhtisas yang perlu dipatuhi.

Kecairan maklumat akibat kaedah latihan teragih yang bermula daripada kementerian, jabatan pelajaran negeri, pejabat pelajaran daerah, sekolah, jawatankuasa kurikulum dan panitia mata pelajaran mengakibatkan proses pendedahan kepada guru pelaksana PBS menjadi suntuk. Jurulatih utama (JU) berkursus selama seminggu, tetapi apabila sampai kepada panitia, taklimat hanya mengambil masa dua jam. Guru juga berhadapan dengan peruntukan aktiviti bilik darjah untuk menyelesaikan segala keperluan kurikulum dan kemahiran insaniah yang lain.

Pemantauan oleh pakar dan pihak berkuasa pelajaran juga berhadapan dengan kekangan kewangan dan tatacara pergerakan guru keluar daripada kawasan sekolah masing-masing. JU dan pentaksir kawasan tidak boleh bertugas di luar kawasan sekolah melebihi 30 peratus daripada waktu rasmi di sekolah. Maka, tanggungjawab pemantauan diserahkan pula kepada pengetua, penolong kanan (pentadbiran dan kurikulum) dan guru-guru kanan mata pelajaran yang sudah sedia sibuk dengan pelbagai jenis borang dan data.

Bagi memastikan bahawa pihak sekolah akur dengan konsep PBS, pengetua dikehendaki menyediakan sistem data dan fail yang berfungsi sebagai bukti hitam putih hasil kerja setiap orang murid. Bilangan fail mungkin mencecah angka ribu dan puluhan unit almari untuk penyimpanan fail berkenaan. Sistem kod dan nombor fail mesti seragam supaya carian fail dapat dilakukan secara serta-merta jika diminta oleh pegawai atasan yang memantau pelaksanaan PBS secara mengejut.

Pengurusan PBS secara atas talian

Kemajuan teknologi maya dan jaringan ialah jawapan kepada isu timbunan fail dan pembaziran kos cetakan dan penjilidan folio murid, kecuali untuk projek pendidikan seni visual atau kerja pertukangan kemahiran hidup. Eza Shafinaz binti Mohamed Zaharin (2011) menerusi kertas projek sarjana sains maklumat, Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mencadangkan sistem e-folio. Eza menyenaraikan manfaat e-folio yang dapat menangani masalah kehilangan bukti dokumentasi bertulis, ciplak, ruang penyimpanan, kos cetak dan jilid, melengkapkan pelbagai format borang, kecuaian manusia dan sebaran maklumat PBS kepada semua pihak yang berkepentingan.

Penggunaan e-folio juga memberi kesempatan kepada murid untuk mempersembahkan hasil kerja mereka secara multimedia. Folio kerja kursus tidak lagi terhad kepada bentuk kertas berjilid, sebaliknya boleh dinaik taraf kepada format audio visual, animasi dan grafik yang canggih. Nilai tambah pelaksanaan PBS menerusi sistem e-folio sudah tentu lebih ketara.

Capaian e-folio boleh dilakukan di mana-mana lokasi yang mempunyai akses internet, serta boleh dilindungi menerusi kata laluan, fail read-only dan had akses untuk orang awam. Capaian penuh hanya dibenarkan untuk pemilik folio, pentaksir dan pihak berkuasa pendidikan tertinggi. Pihak lain hanya boleh membaca bahagian abstrak atau sinopsis, serta perlu mendapat keizinan pemilik folio menerusi e-mel yang tertera jika hendak memperoleh versi folio yang lengkap.

Sistem e-folio boleh diletakkan di bawah sistem analisis peperiksaan sekolah (SAPS) sedia ada dan skor markah terus ke laman sesawang LPM atau MPM. Untuk keselamatan data, segala fail hendaklah juga disimpan secara talian tempatan (off-line, LAN) dan peranti mudah alih lain seperti cakera padat (CD), pemacu jari (thumb-drive) dan lain-lain. Selain itu, murid dan pentaksir sekolah juga digalakkan mewujudkan sistem e-mel sebagai salinan fail tambahan untuk pelan B kepada risiko ancaman serangan penggodam dan virus terhadap sistem induk e-folio.

Cabaran Pelaksanaan PBS

PBS ialah sebahagian proses perubahan konsep pentaksiran yang terlaksana di seluruh dunia. Finland misalnya telah melaksanakan PBS tanpa peperiksaan secara berpusat dalam tempoh 9 tahun persekolahan  awal kanak-kanak. Australia, Hong Kong dan New Zealand juga boleh dianggap berjaya melaksanakan PBS secara sistematik. Kepesatan perubahan persekitaran pendidikan, dinamika masyarakat dan industri bererti PBS ialah suatu keperluan yang kritikal dan segera.

Proses perubahan sentiasa menggugat status quo dan kelompok zon selesa. Pembaharuan akan mengakibatkan kehilangan kedudukan, kebiasaan dan kepakaran lama. Usaha menarik perhatian ke arah melemahkan rintangan terhadap perubahan dan mengukuhkan daya pacu perubahan perlu dikendalikan secara paling bijaksana, cermat dan hormat.

Kepercayaan terhadap pelaksanaan PBS sebagai ganti sistem pentaksiran berpusat LPM dan MPM sepenuhnya perlu dipupuk dalam kalangan murid, guru dan masyarakat. Murid akan lebih bertanggungjawab terhadap proses pembelajaran kendiri, guru dengan tanggungjawab ikhtisas dan masyarakat menerima PBS sebagai kayu ukur pencapaian pembelajaran murid. Pihak LPM dan MPM pula akan bertindak sebagai pemantau, penyelaras dan penjaga kesahan, serta kebolehpercayaan PBS kepada semua pihak yang berkepentingan.

Langkah Memperkasa PBS

Guru akan sentiasa menjadi tulang belakang dan tumpuan pelaksanaan PBS. Maka, keperluan latihan dalam perkhidmatan (Ladap, in-service training atau Inset) harus berorientasi praktikum (hands-on). Ladap berbentuk ceramah, taklimat dan kursus aras komunikasi dua hala terhad perlu kepada proses ubah suai. Gaya pengajaran guru dengan gaya pembelajaran murid menerusi pelaksanaan PBS mestilah sentiasa akur dan sejajar.

Memandangkan begitu banyak data dan fail yang hendak diuruskan, pelantikan pembantu guru hendaklah dibuat dengan segera. Pembantu guru hanya dikhususkan untuk meningkatkan kecekapan kemasukan data pembelajaran, bukan untuk membantu kerja-kerja pejabat seperti urusan stok dan percetakan. Spesifikasi dan terma tugas pembantu guru hendaklah secara jelas menegaskan hal berkenaan, terutama sistem pengurusan data dan fail PBS.



Ulasan Artikel.

PBS ialah bentuk pendidikan masa hadapan yang juga berupa ucapan selamat tinggal kepada orientasi peperiksaan per se yang telah sekian lama mengundang kritikan bertalu-talu. Anjakan paradigma yang berlaku ini bertepatan dengan pesanan Saidina Umar al-Khatab yang menegaskan supaya reka bentuk pendidikan anak-anak wajib berdasarkan keperluan masa hadapan mereka. Pelaksanaan PBS acuan Malaysia bermakna sistem pendidikan dan pentaksiran sentiasa melangkah ke hadapan, manakala segala kebijaksanaan dan pengalaman zaman-berzaman akan tetap dimanfaatkan dalam persekitaran terkini.

Secara teorinya, pelaksanaan PBS sangat memberi manfaat kepada guru, pelajar dan masyarakat. Guru tidak lagi terbeban untuk mengejar A bagi setiap mata pelajaran dan pelajar juga lebih bersemangat kerana penilaian dijalankan secara berterusan dan menyeluruh. Bertitik tolak dengan kejayaan pelaksanaan PBS sedia ada seperti ULBS, PEKA, KAFA dan sebabagainya yang telah diambil kira sebagai markah dalam peperiksaan awam , maka timbul idea daripada KPM untuk memansuhkan UPSR menjelang tahun 2012 untuk digantikan dengan PBS sepenuhnya.

        Namun, dari segi pelaksanaannya, masih belum menunjukkan kejayaan yang sepenuhnya. Pelbagai punca, kekangan dan masalah yang menjejaskan pelaksanaan PBS di sekolah antaranya dari segi faktor amalan profesionalisme dan falsafah pegangan guru dan faktor budaya, tradisi, kepimpinan dalam pendidikan termasuk kesesuaian acuan penilaian dan amalan birokrasi yang perlu mengambil kira keperluan pelajar. Sebagai contoh, jika PBS dilaksanakan sepenuhnya untuk menggantikan  UPSR masalah timbul untuk menilai gred murid bagi kemasukan ke sekolah elit seperti MRSM , SBP dan sebagainya. Selain itu, pelbagai isu lain juga timbul di mana ianya dikatakan membebankan guru. Tugas-tugas guru yang sedia banyak akan dibebankan lagi dengan pelbagai jenis folio dan dokumen berkaitan yang perlu disediakan dan dilaksanakan. Bilangan pelajar yang ramai juga menyebabkan guru tidak cukup masa untuk melaksanakan PBS dengan sistematik. Guru boleh juga dilabel sebagai "kerani" dengan bebanan tugas yang banyak ini. 

         Pengurusan PBS secara atas talian merupakan satu alternatif yang terbaik bagi mengurangkan beban tugas guru ini namun ianya juga mempunyai kelemahan yang tersendiri seperti jaringan internet yang terhad, capaian internet yang sibuk dan tidak memuaskan dan sebagainya. 

Cabaran pelaksanaan PBS memang akan sentiasa muncul dari masa ke masa. Kekurangan dan ralat yang masih wujud tidak wajar menjadi alasan untuk pelaksanaan PBS kembali lemah. Murid, guru dan masyarakat berhak untuk memberikan sumbangan terbaik demi masa hadapan bangsa, negara dan umat.

Kesimpulannya, saya berpendapat bahawa pelaksanaan PBS di sekolah adalah sangat tepat dan bermanfaat namun ianya perlu dilaksanakan secara perlahan-lahan dan mengambilkira luahan dalam kalangan guru sendiri tentang pelaksanaan PBS ini. Hanya guru yang mengetahui kekangan yang dialami mereka dan mungkin mereka juga mempunyai cadangan sebagai jalan penyelesaian dalam melaksanakan PBS. Saya sendiri sebagai guru tidak menafikan akan kepentingan dan kebaikan pelaksanaan PBS di sekolah, malah ingin mencadangkan supaya KPM menyediakan pembantu guru bagi merialisasikan hasrat untuk melaksanakan PBS sepenuhnya di sekolah.